Saturday, February 23, 2008

Hidup Itu Cabaran


Bukan semua perkara yang kita mahu boleh diperoleh dengan senang. Sudah menjadi hukum alam, sesiapa yang berusaha, dia yang dapat. Sesiapa yang minta, dia yang beroleh faedah. Itulah juga SunnatuLLAH yang termaktub di dalam al-Quran.

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya. (An-Najm, 39)

Dalam usaha mengejar apa yang didingini, usaha yang kuat dan berterusan ialah harga yang wajib dibayar. Seringkali, dalam menyusuri jalan usaha yang terbentang menuju ke puncak jaya yang diimpi, jalannya tidak selalu terang dan lancar.

Andai kita adalah yang pertama yang merintis jalan tersebut, sudah tentu banyak onak duri dan dahan reba serangka yang perlu dicantas. Kitalah yang membuat jalan itu. Kadang-kadang walaupun di jalanan yang asalnya terang, hasad manusia menabur paku, sembilu mahupun miang memastikan hasrat kita tergendala. Selain itu, ALLAH Yang Maha Perancang juga menguji hamba-NYA dengan pelbagai faktor luaran yang menyebabkan jalan rosak, becak dan kabur.

Maka, ramailah juga yang terkandas mahupun terjerumus ke gaung kegagalan di kiri kanan jalan itu. Mereka yang dikaburi terus teraba-raba mencari arah dan tuju. Dan alangkah malang sekali tangan yang memaut memandu perjalannya seringkali melencongkan perjalanannya dari matlamat asal.

Begitulah analogi kehidupan dalam mengharungi hidup ini. Semua manusia waras semestinya mempunyai matlamat dalam kehidupan bergantung kepada peranannya. Seorang pemimpin mahukan negara yang makmur gemilang, seorang pendidik mahu melihat kejayaan pelajarnya, seorang bisnesman mahukan keuntungan yang tak berpenghujung dan seorang pelajar sudah tentu mahukan kejayaan gemilang di akhir hari graduasinya. Dan sudah pasti, seorang hamba pastinya mengharap keampunan dan keredhaan TUHAN-nya di saat bersemuka dengan-NYA kelak.

Ringkasnya, hidup ini suatu perjalanan. Perjalanan itu penuh cabaran. Cabaran memenuhi kehidupan. Takut cabaran, maknanya takut hidup. Takut hidup, tiada lagi makna kita hidup. Bersyukurlah dengan nikmat kehidupan yang diberi dengan memaknakan hidup kita, dengan cara berusaha mencapai matlamat hidup kita.

No comments: