Saturday, February 23, 2008

25 Jam Sehari


Kadang-kadang hati gundah, jasad kelam kabut mundar mandir fikirkan banyak perkara yang belum selesai. Amat benar ungkapan Syed Qutb, “Tugas kita amat banyak, sedangkan masa kita amatlah terhad”.

Begitulah nasib semua insan lemah, hanya makhluk ciptaannya. Tak terdaya menghambat waktu. Makin dikejar, sedar-sedar ianya telah berlalu. Akhirnya terperangkap dek hambatan waktu. Pepatah Arab menyebut, “Waktu itu umpama pedang, jika kamu tak gunakannya untuk memotong, ia akan memotongmu.” Maka, keluarlah rintihan seperti orang kebanyakan lain, “Alangkah bagusnya jika aku ada LEBIH MASA”

Mahu lebih masa? Maka, ciptalah dan tinggallah di dunia anda sendiri dengan aturan masa sendiri! Sudah menjadi azali alam ciptaan ALLAH ini, harinya hanyalah cuma 24 jam. Hatta di negara non-tropika yang mepunyai empat musim walaupun mereka merasa lega di musim sejuk kerana pendek puasanya ataupun panjang cuti musim panasnya, namun hakikat sehari 24 jam tetap tidak berubah. Kita hanyalah makhluk terpaksa akur dengan SunnatuLLAH ini.

Hakikat 24 jam sehari juga sama bagi semua insan. Seorang penagih dadah di jalanan ataupun presiden syarikat multinasional di lounge suitnya mahupun angkasawan di angkasa lepas, semuanya mempunyai 24 jam. Waktu yang sama, namun hasil yang berbeza untuk setiap individu.

Mengapa begitu jadinya? ALLAH telah pun adil dalam memberikan masa yang sama kepada semua orang. Jadi tiada lagi alasan untuk mempersalahkan taqdir urusan TUHAN apabila kita tidak berjaya, tidak kaya ataupun tidak pandai. Hanya satu yang nyata yang membezakan antara mereka, USAHA LEBIH bukannya MASA LEBIH.

Namun, realiti manusia yang selalu mencari alasan, bukannya mencari jalan. Masih lagi berdalih untuk mengorak langkah pantas ke hadapan. Sikap tunggu dan lihat selalu mengambil tempat sehingga masa yang membawa peluang hanya singgah lalu di depan mereka begitu sahaja.

Maka, rasanya orang begini tidak lagi sesuai hidup di dunia yang serba pantas ini. Pergilah ke ‘dunia baru’ dengan tambahan 1 jam sehari. Dunia di mana rezeki dipermudahkan ibarat seekor burung yang terbang bebas.

Itulah dunianya, pergilah ke dunia burung ataupun ayam. Rezekinya setiap hari Insya-ALLAH tidak pernah putus dengan izin ALLAH. Namun di sebalik kesenangan rezeki ini, rahsia mereka adalah diberi lebih satu jam dalam sehari. Mereka mencari nikmat TUHAN dalam kesempatan masa yang lebih itu.

Bagaimana burung dapat lebih masa? Di dunia mereka, mereka bangun awal dari orang lain. awal 1 jam. Di saat orang tidur, mereka telah pun keluar mencari dan menikmati rezeki yang dihidangkan TUHAN.

Begitu juga sinonim kepada hidup insan. Orang dahulu menyakini, awal pagi adalah punca rezeki, jeusteru dilarang keluarganya tidur selepas wasktu Subuh kerana dinyakini tertutup pintu rezekinya. Tapi itulah rahsia orang yang berjaya. Mereka ‘berpindah’ ke dunia burung. Mereka bangun awal. Mereka dapat lebih masa dari satu hari.

Bayangkan orang biasa yang akan bangun sekitar 6 pagi. Dan kita bangun sejam awal sekitar 5 pagi setiap hari. Kita dapat extra 1 jam sehari, dan banyak kerja dapat dilakukan dalam 1 jam untuk kejayaan kita. Kita telah pun dapat ‘25 jam’ sehari! Maka setahun, kita ada lebih 365 jam lebih dari orang lain. 365 jam boleh memberikan anda pulangan hasil yang amat besar jika anda bijak memanfaatkannya.

Seorang antagonis dalam filem James Bond yang kaya raya telah ditanya bagaimana dia berjaya. Jawabnya dia berusaha dalam kesempatan masa yang banyak. Bagaimana mendapat masa sebanyak itu? Dengan hanya mengurangkan tidur. Dan dengan sinis dia menambah, “Masih banyak lagi masa untuk tidur selepas mati…”.

Satu kajian menunjukkan individu menghabiskan 1/3 hayatnya dengan tidur. Andai seseorang itu hidup 60 tahun, jadi 20 tahun hayatnya habis di dalam tidur. 20 tahun! Macam-macam yang kita mampu buat dengan masa 20 tahun.

Mencari lebih masa dengan mengurangkan tidur juga rahsia kejayaan umat Islam silam. Jika siangnya mereka berkerja untuk tuntutan duniawi, malam mereka lazimnya dibahagi 1/3 untuk tidur, 1/3 untuk ibadah dan 1/3 untuk ilmu samada membaca atau menulis. Hasilnya, muncullah suatu tamadun yang gemilang dalam lipatan sejarah.

Jadi, untuk meraih kejayaan, carilah lebih masa, di samping tingkatkan usaha. Hijrahlah dari dunia yang terhad waktunya ini ke ‘dunia burung’ yang mempunyai lebih masa. Contohilah tabiat burung kerana mereka percaya “Early birds catch the worms.” “Burung yang awal akan menangkap cacing”

No comments: