Tuesday, March 4, 2008

Begitukah Cinta?


“... Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selagi aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah Aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali” –Hud, 88-

Begitukah Cinta?

Kekadang ku tergagau sendirian, mencari erti di sebalik kamus hidup ini.

Tatkala melihat ramai bergembira dengan apa yang di sisi mereka.

Apakah itu suatu nikmat dunia yang semua harus kecapi?

Kalam ALLAH bertitah; “Dan KAMI jadikan kamu berpasang-pasangan”.

Detik hati ini, jadi dimanakah pasangannya? Di mana harus dicari?

Mmm…. Hal lain pula menjelma…

Berpasangan? Nak berpasangan kenalah ada CINTA.

CINTA? Ada apa dengan CINTA? Bagaimanakah CINTA dan BERCINTA?

Betapa Adam a.s. yang telah pun diberikan segala nikmat dan hikmat selepas diciptakan dan ditempatkan di syurga, masih lagi merayu akan RABB-nya seorang teman. Betapa uniknya kejadian insan yang diciptakan ALLAH, mempunyai perasaan ingin MENCINTAI dan DICINTAI, sehingga rasa hati itu diperkenan RABB AL-JALIL dengan hadirnya Hawa a.s.; teman dan pasangannya di syurga. Dari mereka, naluri CINTA itu kekal hingga ke hari ini.

Teringat pula, dari CINTA yang mereka raikan itu, membawa kedua-duanya bertemu di Arafah selepas sekian lama berpisah sejak ‘dicampakkan’ ke Bumi. Tidak lama kemudian, CINTA Adam a.s yang mewujudkan Hawa a.s bercambah hingga wujudnya Qabil, Habil, Iqlima & Labuda dan cucu cicit hingga sekarang.

Namun, segalanya juga kerana CINTA, apabila tiba masa sang teruna Qabil & Habil meraih CINTA Iqlima & Labuda, lain pula yang terjadi. Alkisahnya, berlakulah sejarah pembunuhan pertama umat manusia tika Habil dihentak batu oleh saudara kandungnya sendiri Qabil lantaran persaingan meraih CINTA Iqlima.

Begitu abstaknya CINTA. CINTA yang membawa kepada wujudnya Hawa a.s. dan seluruh umat manusia, dalam masa yang sama membawa pengakhiran kepada jiwa insan.

Alangkah begitu sekali penangan CINTA. Insan menjadi lupa dan kabur. Rasional dibelakangkan dan emosional menjadi paksi. Lantaran itu, dimanakah kemurnian CINTA?

CINTA. Satu ungkapan yang membuat sesiapa sahaja yang terperangkap didalamnya hanyut. Lebih hebat lagi, bilamana sang kapitalis memanipulasi CINTA menjadi karya lagu, filem, buku mahupun dipergunakan untuk agenda tersendiri, lantas yang lain menjadi alpa. Lahirlah darinya segala macam tafsiran yang kurang enak tentang cinta, namun indah di kalangan orang yang terperangkap olehnya.

CINTA telah diertikan ada apabila insan itu berdua. Mereka menyanyikan ‘Berdua Lebih Baik’. Bersama berpimpin tangan, bercumbu-cumbuan dan seterusnya. Riang ria hatta saat yang sukar diundur masanya, maka yang asalnya berdua jadi ‘bertiga’. Di saat kekesalan atas keriangan terdahulu, maka dengan linangan air mata seraya mengucap ‘Aku menjadi mangsa CINTA, terpedaya dengan CINTA’.

Ish! Kejinya CINTA itu. Merosakkan orang. Menghampakan insan. Melukakan jiwa.

Eh, Tidak! Mana ada begitu! CINTA itu bagus, banyak bagus. Kalau tidak, kenapa ALLAH mencipta CINTA di sanubari semua insan?

Mmm… Nampaknya bukan CINTA yang perlu disalahkan. Semua orang BERCINTA. Nabi Muhammad s.a.w BERCINTA. Semulia orang seperti Baginda s.a.w. pun meraikan CINTA. Hanyasanya jenama CINTA itu indah dimata mereka yang mendokong kemurnian CINTA itu.

CINTA itu suatu naluri yang kudus, suci, mulia lagi agung yang ALLAH tempatkan di sanubari insan. Ia suatu anugerah yang diberi-NYA tanpa dipinta. Sepatutnya bersyukurlah mereka yang merasai CINTA. Ianya satu amanah yang jika digenggam dengan bijak & menurut aturannya tanpa palitan hitam maksiat, Insya-ALLAH, ianya akan membahagiakan hidup si PERAIH CINTA.

Mengapa dikata si PERAIH CINTA? Kerana SANG PENCINTA itu hanyalah DIA YANG ESA. AL-MUHIB itu nama-NYA yang agung. PENCINTA SEGALA PENCINTA. Hanya dari DIA-lah lahirnya CINTA, dan hanya kepada-NYA sahajalah CINTA itu didasarkan.

Mengapa Kecewa?

Ahh! Kecewa, sedih, resah, risau….

Sudah lama ku meraih CINTA, kecewa tidak kesampaian.

Sekian lama ku merai CINTA, resah hati takut kehilangan.

Lama-lama hilanglah CINTA itu, sedih dan pilu datang bertapa..

Di manakah bahagianya CINTA?

Hakikatnya, bukanlah CINTA itu yang mengandung kecewa. CINTA itu indah, bahagia dirasa bila BERCINTA. Namun, kekaburan akan definisi dan destinasi CINTA itu yang membawa duka, lara, nestapa dan merana.

Mereka yang kecewa adalah mereka yang tertipu, terpedaya dan kabur tentang CINTA yang diburunya. Bukanlah CINTA MURNI itu yang diburu, namun yang dikejar hanyalah semata-mata CINTA WANITA, HARTA mahupun TAKHTA bersalut noda, nista, nafsu, rasa hati, dan zulumat (kegelapan) maksiat.

Ah, betapa ku tidak ingin begitu. Ya ALLAH, anugerahkan aku CINTA yang bukan mainan, palsu dan dongengan. Bimbinglah daku dalam melayari CINTA. Jangan hanyutkan daku ke jurang API NERAKA dek kekaburan dan kejahilan ku menakrif erti CINTA.

Cinta Merdeka

CINTA itu tinggi nilainya. Membawa nikmat bahagia kepada si peraih yang tahu nilainya. Sinar CINTA hanya diketahui ahlinya ibarat maknikam yang hanya diiktiraf jauhari. Dan hanya ‘sang jauhari’ yang ahli mampu menjaga kemurnian CINTA itu untuk mengekalkan nilainya tanpa selaput yang memudarkannya.

CINTA memberi bahagia, ketenangan dan kedamaian jiwa. Sanubarinya bebas dan merdeka sebelum, semasa dan selepas BERCINTA. CINTA itu memberi kebebasan & kedamaian lantaran sifatnya yang merdeka.

Maka, tiada siapa boleh memiliki CINTA selain SANG PENCIPTA-nya. Jiwa insan resah, bimbang dan kecewa kerana mahu memiliki dan mengawal SI PERAIH CINTA yang lain. Mereka tersilap.

Ya, mereka tersilap. Yang dikejar itu bukanlah CINTA. Yang diburu mereka hanyalah jasad lelaki mahupun wanita yang mahu ditempatkan di sisi mereka selamanya. Maka, dengan alasan CINTA, manusia memperhambakan, mengikat dan memperbodohkan diri sesama manusia. Dimanakah pula CINTA hamba itu kepada PENCIPTA-nya?

Justeru, sucikanlah CINTA dari kekejian ini! Buang segala nafsu, ikutan rasa juga emosi hati yang menyelaputi sinar CINTA itu.

Mengapa masih resah? Kerana, mereka bukanlah BERCINTA dengan waras. Mereka hanya;

Turutkan NAFSU. Turut NAFSU pasti LESU.

Utamakan RASA. Utamakan RASA pasti BINASA.

Ikutkan HATI. Ikut HATI pasti MATI.

Itulah namanya zalim. Tidak meletak sesuatu di tempat yang sepatutnya. Perjalanan CINTA ada landasannya. Sudah jelas SANG PENCIPTA CINTA juga mencipta SYARI`AT. SYARI`AT jelas sekali bermaksud jalan. Maka BERCINTALAH di jalan yang sepatutnya. Moga-moga jelas destinasi CINTA yang dituju dan selamat tiba.

Konflik Dibelenggu Cinta

Masih kabur dan resah walaupun merasakan diri sedang BERCINTA. Masih tergagau-gagau kemana arah tuju destinasinya. Selamanya akan berlegar di situ, sesat tak berpenghujungan.

Ibarat musafir berkelana di lautan dengan segala ilmu falak dan geografi, tapi membuang peta dan kompasnya, lalu menduga lautan dengan kehendak hati. Selamanya tidak bertemu destinasinya.

Begitu juga seorang hamba, dengan segala pengetahuan akan jalan yang menjadi landasan CINTA itu. Namun malangnya dibuang segala alat perbekalan yakni ILMU, IMAN, AMAL dan TAQWA, maka hanyutlah ia dalam bahtera CINTA yang dipandu nafsu dan rasa hati itu.

Alangkah murka bukan kepalang sang pencipta yang telah menganugerahkan ‘bahtera’ itu dan segala ‘alat perbekalan’, namun tidak dihargai dan digunakan sebaik-baiknya. Ah, biarlah dia yang tidak bersyukur, biarkannya hanyut dengan bahtera CINTA itu dengan rasa hatinya yang keras.

Belenggu CINTA tidak harus wujud dalam diri hamba yang merdeka. Jiwa batinnya terseksa bukan kerana CINTA, tapi kerana dosa, nista, noda, maksiat (penderhakan) dan zulumat (kegelapan). Namun fitrah insan yang terlupa, CINTA juga dipersalahkan.

Berhentilah memburukkan wajah CINTA atas segalanya. CINTA itu sifat yang kudus (suci), tulus dan mulus. Tidak layak untuk diletakkan padanya kaitan yang tidak selayaknya. Bersihkanlah fitrah CINTA itu!

Satu Cinta

Kata-kata di atas hanyalah sebagai prolog; monolog hati seorang hamba-NYA.

Bukanlah soal membuang dan dibuang, berpisah dan dipisahkan, tidak sayang mahupunmasih ada sayang, ataupun perihal berjumpa gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. TIDAK semua itu…

Soal hati suatu yang kompleks. Hanya ALLAH yang mengawal dan membolakbalikkan hati mampu mentadbir rasa yang jauh di sanubari ini. Sepertimana kita berSYUKUR apabila DIA menganugerahkan rasa CINTA, kita juga REDHA tatkala rasa itu ditarik semula. Kerana, segalanya datang dan kembali kepada-NYA jua.

Di samping kesyukuran yang ada, jiwa, hati dan batin ini makin terseksa. Semakin hari semakin hanyut dibuai ulitan CINTA itu.

Manakan tidak,

Iman berkata begini, nafsu berkata begitu,

Ilmu memujuk macam ini, hati memujuk macam itu,

Amal dan Taqwa membawa ku kesini, rasa membawa ke situ.

Ah, betapa seksanya jiwa ini. Belenggu, konflik, terantai, terikat dalam keseronokan bergelumang di jalanan yang tak pasti, yang kelak menemukan dosa dan jurang neraka.

Ah, resah dan gelisah ku dibuatnya.

Maaflah, aku ingin lepas dari seksa penjara ini.

Ku ingin kedamaian, ketenangan dan keamanan dengan MUNAJAT & TAQARRUB kepada-NYA.

Maka, tika ini, saat ini dan masa ini…

Antara CINTA dan CITA-CITA, ku memilih CITA-CITA.

Antara TANGGUNGJAWAB kepada SEORANG WANITA, dan kepada KELUARGA, UMMAH, AGAMA, BANGSA & NEGARA, ku memilih TANGGUNGJAWABkepada KELUARGA, UMMAH, AGAMA, BANGSA & NEGARA.

Antara JUJUR kepada seorang WANITA dan PRINSIP AGAMA, ku memilih JUJUR kepada PRINSIP AGAMAKU.

Antara MENURUT ungkapan seorang WANITA dan KALAM ALLAH, ku memilih untuk MENURUT KALAM ALLAH.

Antara SERONOK diulit UNGKAPAN MANIS dan SENANDUNG AL-QURAN, ku memilih untuk terus SERONOK dibuai SENANDUNG AL-QURAN.

Antara MERINDUI seorang WANITA dan SYURGA, ku memilih untuk MERINDUI SYURGA.

Antara TENANG mengadu kepada seorang WANITA dan RABB-ku, ku memilih KETENANGAN mendampingi RABB-ku dengan MUNAJAT.

“Ya ALLAH, betapa hamba-MU ini naif dan daif dalam menyelusuri perjalanan hidup ini dalam meraikan CINTA yang akan, sedang atau telah ENGKAU anugerahkan. Bimbinglah daku supaya tetap di landasannya agar ku tak terjunam ke jurang api neraka”