Wednesday, May 21, 2008

Jom kembali ke tadika !

Ceritera ini berlaku bertahun dulu. Semasa di bangku sekolah. Tika mentah mencari erti hidup.

Zaman itu, apa sahaja yang dibuat mestilah tengok kepada kawan. Apa pandangannya, apa katanya, apa fikirnya. Kadang-kadang berniat nak jaga hati kawan, maka diikut segala katanya. Kadangkala kerana mendengar nasihat kawan, hasrat dan rasa sendiri diketepikan.

Begitu kuat penangan kawan. Sehingga ‘mulut kawan’ mengambil alih suara hati kita. Arahan & ajakan kawan menjadi ‘otak’ kita. Lagak kawan dijadikan teladan. Akhirnya kita dan kawan itu sama sahaja. Macam melihat cermin. Ibarat kata Cervantes, “Tunjukkan aku siapa kawanmu, akan ku tunjukkan siapa kamu.”

Mungkin ada berbaloinya berbuat demikian. Kerana meraikan kawan, kawan pun riang. Apabila kawan riang, kita pun turut sama gembira. Teringat lagu tadika, “The more we get together, the merrier / happier will be”

Namun, orang selalu berkata langit tidak selalunya cerah. Ada gembira mengundang duka. Tika duka, terjelmalah satu qaul, “Kawan bergembira senang dicari, kawan berduka sukar sekali”.

Hari tidak selalunya indah, hidup tidak selalunya ceria. Pabila bersendirian ditinggalkan ‘kawan gembira’, hati gundah gulana. Menyalahkan diri dalam resah. Tidak kurang pula meletakkan semua salah atas kawan yang tidak ikhlas.

Dalam menyalahkan kawan, terdetik juga hati kecil sendirian, mungkin juga diri sendiri yang salah. Oh, apa salahku? Apa silap cakapku? Apa salah fahamku? Tak ketemu jawapannya. Hanya persoalan bertalu-talu, membikin hati gundah, jiwa resah, rasa salah.

Hayat diri ini pernah begitu di saat itu. Di mana kawan-kawanku? Tempat ku bersama ketawa ria? Tempat ku perlu bergantung melayan lara hiba? Mmm… Apabila tiada kelibat seorang pun, tingallah kita sendiri. Mencari salah diri, menjadi rendah diri, hilang percaya diri dan keliru arah kendiri.

Pengalaman diri ini juga sangat tragis tika begitu. Mujur sayang TUHAN masih tercurah. Ketika duduk melayan emosi di penjuru kelas, datanglah seorang ‘otai’ lantas menghadiahkan penampar ala Jepun. Pap!!! Berdenyut pipi dan rahang. Sebelum sempat membalas dengan kata sumpah mahupun tangan, dia terus menghambur katanya, “KAU ! DENGAR SINI! KALAU KAU HIDUP NAK DENGAR JE APA ORANG CAKAP ATAU FIKIR PASAL KAU, BAIK KAU TAK PAYAH HIDUP !!!”.


Terus terduduk terpinga-pinga. Lama kelamaan terfikir ada betul juga kalamnya. Kenapa harus biarkan diri terbantut hanya kerana kata-kata atau fikiran orang. Bukan semua yang dikata orang itu betul, boleh jadi mereka tak faham, boleh jadi mereka dengki.

Tak perlu juga kita bergantung kepada kata-kata atau fikiran orang, andai kita yakin kita benar. Namun andai ia tentang sikap dan perangai kita, terimalah dan berubahlah seadanya. Jika ia hanyalah cabaran kepada pendirian, prinsip dan amalan yang kita yakini betul, untuk apa kita goyah dan menyandarkan segala-galanya kepada orang.

Steve Chandler menulis, “Semasa kita di tadika, kita antara orang yang paling riang dan kreatif, kita bebas melakukan apa sahaja yang kita mahu (menyanyi, melompat, melaung) tanpa memikirkan tanggapan orang. Tapi bila saja kita ke sekolah menengah, kita jadi terbantut dan murung, kita gagal mengekspresi diri sendiri lantaran terlampau memikirkan tanggapan orang kepada kita.”

Solusinya, kita sendiri yang tentukan hidup kita ! Ekspres diri sindiri, jangan biar terperangkap dalam tanggapan orang lain. Jom kembali ke zaman riang ria tadika ! Hahahahaha…